Monday, December 10, 2007

Sunday, November 18, 2007

Thursday, November 8, 2007

Peperiksaan

Peperiksaan sebelum cuti penggal akhir
PUTRAJAYA 7 Nov. – Kementerian Pelajaran memutuskan mulai tahun depan, peperiksaan akhir tahun di semua sekolah dianjakkan kepada seminggu atau dua minggu sebelum cuti penggal akhir bermula bagi mengatasi masalah pelajar ponteng.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, perubahan itu juga membabitkan tarikh peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang pada masa ini diadakan pada bulan September dan Oktober.

“Sebelum ini, ramai ibu bapa membangkitkan masalah pelajar ponteng sekolah memandangkan tiadanya proses pembelajaran selepas selesai peperiksaan akhir tahun.

“Jadi saya memutuskan peperiksaan diadakan pada minggu-minggu terakhir sebelum cuti penggal manakala bagi peperiksaan awam, saya minta Lembaga Peperiksaan Malaysia membuat kajian daripada segi aspek teknikal agar tarikh peperiksaan dapat dilewatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat permuafakatan antara kementerian dengan kesatuan-kesatuan guru di sini, hari ini.

Menurut Alimuddin, bagi memeriksa kertas jawapan, para guru boleh melakukannya ketika cuti penggal akhir tahun dan semua keputusan peperiksaan dihantar melalui talian terus kepada pihak sekolah.

“Keputusan itu kemudiannya akan dimaklumkan kepada para pelajar melalui pos,” katanya.

Sementara itu, Alimuddin berkata, kementerian akan memastikan kekosongan kuota jawatan Guru Cemerlang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG44 sebanyak 3,926 daripada keseluruhan 4,000 kuota baru dapat diisi sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang akhir tahun ini. Bilangan penyandang jawatan itu pada masa ini hanya 74 orang.

Ditanya mengapa kuota jawatan itu masih banyak tidak diisi, beliau menjelaskan, ia berpunca daripada sambutan dingin para guru apabila tidak ramai yang membuat permohonan bagi jawatan itu.

Justeru, katanya, kementerian menggunakan kaedah baru iaitu cadangan mengisi jawatan tersebut dibuat oleh Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, pengetua sekolah atau kesatuan perguruan selain guru tersebut membuat permohonan.

“Saya sebenarnya tidak berapa jelas mengapa ia disambut dingin walaupun kita buat macam-macam kempen.

“Mungkin ada guru merasakan adakah mereka layak memohon atau bimbang terpaksa memberikan ceramah di sana sini apabila memegang jawatan tersebut,” katanya.

Kata beliau, pihaknya berharap kuota tersebut dapat segera diisi dan akan memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah jumlah kuota bagi memastikan usaha memartabatkan kerjaya perguruan dapat dipertingkatkan.

Thursday, September 20, 2007

Kisah Biskut

Seorang wanita di lapangan terbang sedang menunggu waktu penerbangannya. Sambil menunggu, dia makan biskut yang dibelinya sebelum itu dan membaca buku cerita. Sedang dia makan dia terperasan yang lelaki disebelahnya turut mengambil biskut dari bungkusan yang sama yang terletak di sebelahnya.

Setiap keping biskut yang dia ambil lelaki itu turut mengambil sama. Di dalam hati wanita itu menyumpah-nyumpah lelaki itu.

“Alangkah tak malunya lelaki ni….. dah la tak mintak dari aku…. makan sama banyak dengan aku pulak tu…Pencuri!! ” rungut wanita itu dalam hati.

Dalam pada itu, lelaki itu dengan muka yang tenang terus dengan perbuatannya. Hinggalah sampai ke biskut terakhir yang terdapat dalam bungkusan itu. Wanita itu menunggu reaksi dari lelaki itu. Sambil tersenyum lelaki itu mengambil biskut yang terakhir itu lalu dipatah dua lantas memberikan separuh darinya kepada wanita itu. Wanita itu menjadi begitu marah namun dia tetap menahan dirinya dari memarahi lelaki itu.

Sambil merampas dengan kasar biskut yang separuh itu dan menunjukkan mukanya yang masam mencuka, wanita itu berkata dalam hatinya.

“Berani sungguh lelaki ni. Memang muka tak malu. Pencuri besar.” kata hatinya dengan marah.

Kedua-dua wanita dan lelaki itu terus duduk sehingga panggilan untuk menaiki pesawat untuk wanita itu sampai. Sambil menarik nafas lega seolah baru lepas dari satu kejadian ngeri wanita itu bergerak menaiki pesawatnya.

Apabila dia sampai di tempat duduknya beliau membuka beg kecilnya untuk mengambil barang. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat satu bungkusan biskut berada di dalam begnya dan ia masih elok belum terbuka.

“Jika biskut ini ada dalam beg aku jadi bermakna biskut yang aku makan tadi…” getusnya.

Ya.. .biskut yang dimakannya tadi adalah kepunyaan lelaki itu. Alangkah malunya dia atas segala tindakannya terhadap lelaki itu. Lelaki itu telah sanggup berkongsi biskut dengannya sehingga biskut yang terakhir biarpun dari awal lagi wanita itu telah menunjukkan reaksi marahnya.

Untuk meminta maaf sudah terlambat namun hatinya penuh kekesalan kerana bersifat kedekut dan tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Kini dia menyedari bahawa dialah pencuri biskut yang sebenar.

Saturday, August 18, 2007

Sunday, August 12, 2007